Manusia.

Perjuangan Dakwahku Official:
📕 Pesanan Terbaik
“Wahai anakku, di antara manusia itu ada yang bersifat bagaikan binatang.
Dalam bentuk seorang yang mampu mendengar dan memperhatikan. Ia akan merasa berat, jika terjadi musibah yang menimpa pada harta bendanya. Namun jika musibah itu menimpa agamanya, ia tiada merasa apapun.”

[Al-Imam Abdullah Bin Al-Mubarak Radhiyallahu ‘anhu]

🌐TeleGram: @PDOfficial
📎156

Wanita.

*WANITA DALAM ISLAM*

oleh Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

1. Wanita dalam sebuah masyarakat merupakan gandingan kepada lelaki dalam melaksanakan tanggungjawab kemasyarakatan. Dalam sebuah institusi perkahwinan wanita adalah isteri yang perlu diberikan naungan nafkah dan kasih-sayang. Dalam sebuah isntitusi kekeluargaan dia adalah ibu yang perlu diberikan keutamaan untuk didampingi oleh si anak.

*Wanita Sebagai Anggota Masyarakat*

2. Wanita sebagai anggota masyarakat adalah rakan gandingan bagi lelaki dalam melaksanakan tugasan kemasyarakatan seperti amar makruf nahi mungkar.

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ

“Dan orang beriman lelaki dan perempuan mereka adalah pembantu yang berganding bahu antara satu sama lain. Mereka menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Mereka menegakkan solat, menunaikan zakat dan mentaati Allah dan Rasul-Nya”
Surah al-Taubah ayat 71

3. Di zaman Nabi saw para wanita seperti Ummu ‘Atiyyah dan Ummu Sulaim terlibat dalam peperangan sebagai jururawat yang menguruskan pejuang yang luka, penyedia makanan dan juga sebagai pejuang sendiri. (Hadis Muslim)

*Wanita Bekerjaya*

4. Wanita juga bekerjaya membantu suami dalam pekerjaan. Asma’ binti Abu Bakar menceritakan bagaimana beliau membantu suami, Zubair bin al-Awwam, yang belum berharta di awal perkahwinan dalam pekerjaan menternak binatang, menimba air minuman dan mengangkut kurma.
(Hadis Bukhari dan Muslim)

5. Seorang wanita bernama Raitoh isteri kepada Abdullah bin Mas’ud bekerjaya dalam kraftangan. Beliau membantu belanja suaminya dan anaknya hasil usaha tangannya. (Hadis riwayat Ahmad)

6. Ibu saudara Jabir bin Abdillah mengadu kepada Baginda saw kerana beliau dihalang oleh seorang lelaki untuk keluar bekerja memungut buah kurma miliknya selepas menjanda. Baginda saw bersabda: pergilah kamu memotong buahan kamu. Barangkali kamu dapat bersedekah dan melakukan yang makruf” (Hadis riwayat Muslim)

7. Isteri-isteri Nabi saw seperti Aisyah dan Ummu Salamah mengajar para wanita dan menjadi tempat rujuk dan panduan mereka dalam kehidupan.

*Wanita Sebagai Isteri*

8. Wanita sebagai isteri adalah teman hidup bagi lelaki. Mereka diberi hak untuk dilindungi oleh lelaki bergelar suami dengan nafkah kediaman dan makan minum.

Demikianlah Allah berfirman:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ

“Lelaki-lelaki adalah tonggak pengemudi terhadap wanita-wanita disebabkan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada sebahagian mereka berbanding sebahagian yang lain dan disebabkan apa yang mereka belanjakan daripada harta mereka..” surah al-Nisa’ ayat 34.

9. Suami wajib memberikan nafkah makan dan minum kepada isteri atas tugasan besar antaranya melahirkan anak. Allah berfirman:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

“Dan menjadi kewajipan atas suami yang dilahirkan anak untuknya menyediakan rezki kepada perempuan yang melahirkan anak dan memberi pakaian kepada mereka dengan cara yang makruf”
Surah al-Baqarah ayat 233

10. Mereka adalah pasangan berkasih dan sayang dalam sebuah institusi perkahwinan.

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (21)

“Dan antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia mencipta untuk kamu daripada diri kamu pasangan-pasangan untuk kamu beroleh ketenangan dengan bersama mereka dan Dia jadikan antara kamu kasih sayang dan kasihan belas…” surah al-Rum ayat 21.

11. Mereka berhak mendapat layanan terbaik sebagai teman hidup.

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

“Dan bergaullah dengan mereka dengan cara baik (makruf) maka sekiranya kamu membenci mereka maka barangkali kamu bencikan sesuatu sedang Allah jadikan padanya kebaikan yang banyak”.
Surah al-Nisa’ ayat 19

12. Jika mahu dilepaskan mereka daripada ikatan perkahwinan maka lepaskanlah mereka dengan cara yang baik

وَإِذَا طَلَّقْتُمُ النَّسَاء فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَلاَ تُمْسِكُوهُنَّ ضِرَاراً لَّتَعْتَدُواْ
“Dan apabila kamu mencerai wanita-wanita lalu sampai pada mereka tempoh mereka maka peganglah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan janganlah kamu memegang mereka kerana tujuan memudaratkan agar mereka terus beriddah..”
Surah al-Baqarah ayat 231

*Wanita Sebagai Ibu*

13. Wanita sebagai ibu diberikan hak utama untuk ditemani oleh seorang anak diikuti dengan bapa. Nabi saw ditanya:

مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي قَالَ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أَبُوكَ

“Siapakah manusia yang paling berhak untuk mendapatkan dampingan yang baik dariku? Baginda saw menegaskan: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: Kemudian siapa?
Baginda menjawab: “Kemudian ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: Kemudian siapa Baginda menjawab: “Kemudian ibu kamu.
Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Baginda menjawab: “Kemudian bapa kamu.”
Hadis Sahih Bukhari

14. Demikianlah Islam memelihara hak wanita dalam sebuah masyarakat.

Sekian

Rabu 8hb Mac 2017

http://www.facebook.com/drtakiri/